Wednesday, May 15, 2013

INSAN BERGELAR PENDIDIK

Tiap kali tibanya tanggal 16 Mei pada setiap tahun akan mengheret aku untuk menerjah seketika kenangan paling tidak akan aku lupakan pada Hari Guru sewaktu aku masih bersekolah rendah. Ceritanya begini:
 
Sekitar tarikh menjelang Hari Guru pada tahun 2004 iaitu sewaktu aku berada di darjah 6, sudah menjadi kebiasaan topik hadiah menjadi hangat dalam kalangan rakan-rakan ketika itu. Aku seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya hanya akan menjauhkan diri dari perbincangan ini dengan alasan tidak mahu memberitahu hadiah apa yang akan diberikan kepada guru-guru kerana tidak akan menjadi kejutan nanti. Walhal dalam hati sudah tidak senang duduk kerana memikirkan topik yang sama. Oleh kerana ketika itu aku takut untuk meminta dengan ibu bapa aku, di mana juga menjadi faktor, aku tidak membeli hadiah untuk guru-guru aku.
 
Tiba hari yang dinantikan, di dalam kelas hadiah-hadiah diletakkan semuanya di atas meja, dan tanpa hadiah dari aku. Aku masih ingat, guru kelas aku iaitu Puan Norina ialah guru Bahasa Inggeris, yang juga merupakan guru kesayangan aku, masuk ke kelas dan terkejut atas pemberian hadiah-hadiah dari anak muridnya, 6 Bestari, dan setelah itu menyambung aktiviti pembelajaran dan mengambil semua pemberian setelah usai kelas. Timbul rasa malu dan bersalah dalam diri kerana tidak memberikan hadiah kepada Puan Norina.
 
Oleh kerana rasa bersalah itulah, aku telah pergi berjumpa dengan Puan Norina di bilik guru dan meminta maaf kerana tidak memberikan hadiah kepada beliau. Dan disinilah perkara yang berlaku yang aku akan kenang sampai bila-bila saat madah ini keluar dari mulut Puan Norina iaitu,
 
"...cikgu dok kisoh pon buleh hadioh ko dok buleh, hadioh mahal ko muroh, comel ko gapo, tapi kalu anok-anok murid cikgu belaja molek-molek sapa panda nga berjayo pon cukup doh bagi cikgu.."
 
Tersentak, bagai baru terjaga dari lena yang panjang, aku ini bukanlah seorang murid yang azalinya bijak pandai, aku ini hanyalah murid yang hanya akan dapat markah tinggi kalau rajin sahaja, kalau tak berkuburlah impian nak markah tinggi tiap kali peperiksaan. Mengingatkan kembali, Puan Norina masuk mengajar lambat ketika itu kerana beliau menunaikan haji bersama suami, dan kembali mengajar dalam bulan Mac. Teringat juga beliau merasa kecewa sewaktu mula-mula mengajar kelas aku dengan melihat prestasi semasa kelas dengan berbaki 6 bulan sebelum UPSR, dan beliau menceritakan sewaktu beliau di hadapan Kaabah beliau memohon kepada Allah supaya diberi kejayaan kepada pelajar-pelajarnya.
 
Dengan berpaksikan beliaulah yang sentiasa menjadi inspirasi aku ketika itu, aku telah berusaha belajar bersungguh-sungguh, juga telah membuatkan aku mencintai bahasa dan semakin menguasai Bahasa Inggeris, lantas membuahkan hasil dengan mencapai 5A dalam UPSR 2004. Sesungguhnya tidak aku sangka, dari kerana tidak ada hadiah kepada guru, menjadikan aku untuk berusaha dan memberikan hadiah yang bermakna buat Puan Norina, sekaligus juga kepada semua insan yang aku sayang. Aku masih ingat ketika itu sewaktu keputusan diumumkan dan nama aku tersenarai sebagai salah seorang yang memperolehi keputusan cemerlang, Puan Norina lah yang menelefon Abah sambil menangis dan aku tahu tangisan itu adalah tanda sebak dan gembira di mana penat lelah mendidik telah membuahkan hasil. =)
 
Kepada Guru-guru:
- Tadika ABIM Pengkalan Chepa.
- Pusat Fardhu Ain dan Qiraati Al-Hidayah Taman Guru.
- Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ismail 1.
- Maktab Sultan Ismail. (paling ramai guru yang disayangi dan memberi kesan waktu di sekolah ini)
- Sekolah Menengah Sains Machang.
- Pensyarah di UiTM Seri Iskandar
 
Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar Pendidik yang telah berpenat lelah tanpa jemu mengajar dan menjadi inspirasi bagi setiap pelajar, semoga panjang umur, dimurahkan rezeki oleh Allah swt dan berjaya di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment